Menganjurkan Berpegang Kepada Sunnah dan Meninggalkan Taksub

Al-Imam al-Syafi`i
Menganjurkan Berpegang Kepada Sunnah dan Meninggalkan Taksub

Al-Imam al-Syafi`i sama seperti imam-imam mazhab empat yang lain, mereka melarang orang ramai taksub kepada pendapat mereka. Semua imam-imam menyeru orang ramai berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah, serta jangan berpegang kepada pendapat mereka jika didapati ianya tidak menyamai apa yang ada di dalam al-Kitab dan al-Sunnah.

Golongan yang taksub kepada mazhab dan memusuhi mereka yang tidak sealiran dengan pendapat mazhab tertentu dalam sesuatu hukum sebenarnya adalah menyanggahi arahan para imam. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab sebagai mempunyai kuasa membuat syari`at ( Kuasa menentu syariat hanyalah milik Allah SWT) dan menganggap perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid ( Taklid maksudnya ikut tanpa mengetahui dalil) kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah ( Maksudnya tabi`in dan tabi’ al-tabi`in) sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya ( Muhaqqiq daripada perkataan tahqiq yang bermaksud mereka yang mengkaji, menyemak dan memastikan kekuatan atau kesahihan sesuatu hujah atau fakta) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah” ( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, cetakan: Dar al-Sahwah, Kaherah).

Di sini kita sebutkan beberapa ucapan al-Imam al-Syafi`i, imam kita yang membela kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w yang menyuruh berpegang kepada sunnah dan melarang taklid buta kepada pendapatnya;

-كل ما قلته فكان من رسول الله r خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تُقَلِّدُوني
(maksudnya) “Setiap apa yang aku ucapkan dan didapati apa yang sahih yang diriwayatkan oleh RasululLah menyanggahi pendapatku, maka ianya (hadith Nabi s.a.w) itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku" ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/33) – ( Maksudnya: jangan mengikutku dalam pendapat-pendapat beliau yang tidak bertepatan dengan sunnah RasululLah s.a.w.) ”.

-إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله r فقولوا بها ودعوا ما قلته
“Jika kamu dapati apa yang ada di dalam kitabku menyanggahi sunnah RasululLah s.a.w, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku. ( Al-Zahabi, op.cit. 10/34)

-قال له رجل تأخذ بهذا الحديث يا أبا عبد الله؟ فقال: متى رويت عن رسول الله حديثا صحيحا ولم آخذ به فأشهدكم أن عقلي قد ذهب

Seorang lelaki berkata kepada al-Imam al-Syafi`I: “Apakah engkau akan berpegang dengan hadith ini, wahai Abu ‘Abd Allah? ( Gelaran al-Imam al-Syafi`i) ”. Jawab beliau: “Apabila diriwayatkan daripada RasululLah sesuatu hadith yang sahih dan aku tidak mengambilnya, maka ketahuilah bahawa akalku telah hilang”.( Ibid, 10/34)

-قال الحميدي: روى الشافعي يوما حديثا فقلت اتأخذ به فقال رأيتني خرجت من كنيسة أو علي زُنَّار حتى إذا سمعت عن رسول الله r حديثا لا أقول به
Kata al-Humaidi ( Al-Humaidi adalah salah seorang imam hadith yang masyhur. Mengambil hadith –walaupun tidak banyak- daripada al-Imam al-Syafi`i. Murid kepada Fudail bin ‘Iyadh, Sufyan bin ‘Uyainah dan lain-lain. Salah seorang guru al-Imam al-Bukhari. Meninggal pada 219H. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/616)): "Suatu hari al-Syafi`I meriwayatkan sebuah hadith. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?”. Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang kristian ( Perkataan zunnar bermaksud tali pinggang yang dipakai oleh orang kristian) sampai apabila aku mendengar sesuatu hadith daripada RasuluLah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya." ( ibid, 10/34)

-أي سماء تُظِلُّني وأي أرض تُقِلُّني إذا رويت عن رسول r فلم أقل به

“Langit manakah yang akan memayungiku, bumi manakah yang akan menanggungku, jika aku meriwayatkan hadith daripada RasululLah s.a.w. lalu aku tidak berpegang kepadanya” ( Al-Zahabi, op.cit, 10/35)

-كل حديث عن النبي r فهو قولي وإن لم تسمعوه مني
“Setiap hadith daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku” ( Maka dengan ini, seseorang dianggap berpegang dengan al-imam al-Syafi`I selagimana dia berpegang kepada hadith-hadith Nabi s.a.w. sekalipun al-Imam al-Syafi`I tidak menyebutnya).

-إذا صح الحديث فهو مذهبي وإذا صح الحديث فاضربوا بقولي الحائط
“Apabila sahihnya sesuatu hadith maka itulah mazhabku. Jika sahihnya sesuatu hadith maka campakkan pendapatku ke dinding” ( Di samping itu hendaklah kita sedar, bahawa bukan semua hadith yang sahih yang tidak diamalkan oleh al-Imam al-Syafi`I disebabkan beliau tidak menemuinya. Demikian juga imam-imam yang lain. Di sana ada syarat-syarat yang lain untuk seseorang ahli ilmu berpegang dengan sesuatu hadith, seperti mengetahui ilmu nasikh mansukh, sabab al-wurud, gharib al-Hadith, musykil al-hadith dan lain-lain. Maka tidak wajar bagi seseorang yang tidak memahami ilmu-ilmu ini di samping bahasa ‘arab, usul al-Fiqh juga perkara-perkara berkaitan dengannya lalu cuba mengeluarkan pandangan secara sendirian terhadap hukum-hakam syarak hanya kerana membaca terjemahan sesuatu hadith yang sahih. Dia hendaklah menyandarkan fahamannya kepada mana-mana imam-imam yang muktabar, atau kepada ahli ilmu yang berkemampuan. Sesiapa yang berfatwa tanpa ilmu, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati agama).
-أجمع الناسُ على أن من استبانت له سنة عن رسول الله r لم يكن له أن يدَعَها لقول أحد من الناس .
“Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunnah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia”. ( Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

كل مسألة تكلَّمْت فيها صح الخبر فيها عن النبي r عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي
“Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadith daripada Nabi s.a.w. yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati”. ( Ibid, 2/266)

Penutup
Inilah pengenalan ringkas mengenai pendirian al-Imam al-Syafi’I r.h sebagai pembela sunnah RasululLah s.a.w.
Written by: Delfyn Dudul facebook Updated at : 4:01 AM